Monday 11 November 2013

BALKANISASI SIBER: Gangguan Semangat 1 Malaysia


Jika disebut perkataan “balkanisasi” ramai yang tidak faham definisi sebenar perkataan tersebut. Namun sedar atau tidak balkanisasi ini sedang menular dalam kehidupan kita melalui kuasa internet. Balkanisasi merupakan suatu analogi terhadap gejala media yang menjadikan khalayak terpisah membentuk koloni masing-masing dan ganas pada kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka. Keadaan ini seterusnya mewujudkan segregasi iaitu keterpisahan.

Umum mengetahui, masyarakat hari ini tidak kira di bandar atau luar bandar sudah biasa dengan penggunaan internet. Internet dijadikan medium untuk menyampaikan buah fikiran kepada orang ramai dan seterusnya mendapat tindak balas sama ada dalam bentuk positif atau negatif. Keadaan inilah yang membentuk kelompok-kelompok berbeza sama ada akan menyokong atau menolak sesuatu idea sekeras-kerasnya.

Luahan fikiran atau pendapat melalui alam siber yang pada awalnya sebagai pandangan semata-mata tanpa diduga menarik perhatian masyarakat. Hal ini secara tidak langsung membentuk kelompok berbeza yang mana masyarakat mula obses dan percaya dengan idea-idea tertentu.

Sebagai contoh, politik di Malaysia dilihat menggunakan kuasa internet dalam meracuni pemikiran masyarakat. Balkanisasi siber dari segi politik dapat dilihat apabila rakyat seolah-olah membenci antara satu sama lain disebabkan sokongan parti politik yang berbeza. Hal ini jelas terjadi kerana penyebaran idea dan maklumat yang kadang kala tidak benar sama sekali berkenaan parti lawan.  Impaknya, politik tidak sihat mula wujud di negara kita yang mana akan member kesan negative kepada perpaduan rakyat.

Selain itu, balkanisasi siber turut melahirkan masyarakat yang tidak bermoral. Kepercayaan yang tinggi terhadap sesuatu ideologi atau pendapat menyebabkan golongan ini mempertahankan kepercayaan mereka sehingga mengambil tindakan yang tidak sepatutnya. Mereka mula mengeluarkan kata-kata kesat, caci-mencaci dan maki-hamun  kepada golongan yang menolak ideologi mereka.


Tuntasnya, balkanisasi siber ini secara tidak langsung menjurus kepada perpecahan masyarakat. Perbalahan yang pada dasarnya hanyalah perdebatan di alam maya berkemungkinan besar terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Jelas, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita semua harus bersatu dan boleh mempertahankan pendapat masing-masing dengan mengambil jalan yang positif. Bukan menjadi obsess pada sesuatu ideologi sehingga memporak perandakan perpaduan.

No comments :

Post a Comment