Monday 21 October 2013

Apa makna jiwa merdeka?


DI SINI SETIA TERUKIR

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,

Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Kita telusuri batas sejarah ke musim suram terjajah,

Menguak hitam belenggu dalam murup durja yang gundah,
Saat melangkah runduk di bawah serakah telunjuk,
Suara pun hilang terpanar di tengah sorak petualang.

Di denai waktu membiak tunas insaf seluruh warga,

Musibah lalu jangan lagi meragut sejahtera wangsa,
Bumi ini tanah air pesaka warisan pejuang,
Dari darah, dari keringat dan semangat menjulang.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,

Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Malaysiaku, bumi mewangi seribu restu,

Melimpah sejuta anugerah dari rahmat teguh bersatu,
Menjulang wawasan gemilang ke puncak persada mercu biru,
Membias bayu kecundang jelmaan cemburu sejuta seteru.

Anak-anak bumiku tercinta,

Hulurkan tangan memalu genta kelangsungan merdeka,
Rapatkan barisan keramat berbekal azimat muafakat,
Segera cantaskan pucuk angkuh rusuh dengan minda yang ampuh.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,

Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Alaf ini tempoh memacu asmara cinta berahi bumi pertiwi,

Membilas noda hitam dari kemelut sengketa selisih semalam,
Muhibah rimbun, mesra anggun, menghijau santun,
Ini negeri terbaik, bumi tercantik, rakyat terdidik,
Mengorak langkah, berkongsi arah menancap monumen terindah.

Sahutlah gemersik suara nafiri seruan perjuangan,

Cokmar kebebasan biar lestari kukuh dalam genggaman,
Tanah ini milik hakiki zaman berzaman,
Jangan sampai berulang lagi diulet kehinaan.

Ini tanah kita, padang permainan seluruh anak bangsa,

Ini darah kita, nafas kita, roh dan jiwa generasi merdeka,
Nusa ini maruah kita, citra kita, martabat daulat perkasa,
Wilayah ini wadah wacana hitam putih pemangkin wibawa.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,

Biar luluh jiwa raga, darah setiaku tetap mengalir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir,
Biar nyawa luluh tercicir, janji ini tiada mungkir.

Ghazali Lateh

......
Tak perlu tunggu hari merdeka baru kita anak muda nak ber"poyo" bagai. Mulalah tukar karakter berjiwa merdeka dengan semangat politik melebih-lebih. Tapi hanya pada tanggal 31 Ogos! 

Itupun  hasil iklan dan drama di televisyen yang memaparkan pahit getir bunga bangsa mempertahankan tanah air tercinta. Penyampaian yang mampu menyentuh generasi baru tentang pengorbanan pejuang dahulu. Namun, persoalannya berapa lama kesedaran itu mampu tercalit dalam jiwa anak muda hari ini?

tepuk dada tanya selera!

bukan kegusaran hati ini tuduh melulu pada semua anak bangsa, tapi segelintir mereka yang bagai alpa tanah mereka ini pernah dijajah. Bagi golongan yang setia ikhlas menyanyangi tanah air ini, satu penghormatan yang sangat luar biasa wajar diberi.

Walaupun pelbagai cara digunakan untuk menerapkan semangat patriotisme dalam diri anak-anak muda ini, usaha harus diteruskan. Biar tiada yang lemas dek pembangunan hingga lupa tanggungjawab pada nusa dan bangsa. 

Sekadar pandangan:)



No comments :

Post a Comment