Sunday 27 October 2013

Rojak Budaya? Uniknya Malaysia:)

Sudah menjadi lumrah, dara melayu dengan baju kurungnya, india dengan sarinya dan cina dengan cheongsamnya. Masing-masing memiliki identiti sendiri walaupun berada di bawah lembayung yang sama iaitu sebuah negara, Malaysia. Nyanyian lagu negaraku dengan lirik yang sama gabungan suara variasi bangsa dan agama berbeza gah berkumandang dengan jalur gemilang ligat berkibaran tanda keamanan dan kedamaian. Semua penghuni disebuah negara berbilang kaum ini bagai mengerti semangat perpaduan dan menghormati budaya antara satu sama lain.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mengamalkan sebuah hubungan perkauman secara sihat yang mana mementingkan unsur menghormati dasar kebudayaan. Memandangkan negara memiliki rakyat yang berbilang kaum, keunikan kebudayaan yang wujud pada hari ini akan terus dikekalkan selagi rakyat mengamalkan budaya tersebut tanpa memikirkan kepentingan sendiri. Dalam erti kata lain, budaya sendiri perlu diteruskan dalam masa yang sama, budaya lain perlu dihormati dan difahami. Keadaan ini sekali gus membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan bertujuan memupuk perpaduan dan integrasi nasional dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan. Dasar ini mengambil kira kebudayaan asal rakyat rantau ini, unsur-unsur budaya yang sesuai dan wajar dari  pelbagai kelompok etnik negara dan ajaran islam yang menjadi unsur penting. Masyarakat pelbagai bangsa  seharusnya memahami dengan sebaiknya tentang dasar kebudayaan yang sedia ada ini supaya tidak timbul sebarang masalah perpaduan dan integrasi.

Tambahan pula, aspek-aspek yang menjadi teras kebudayaan kebangsaan sewajarnya dipelihara kerana kebudayaan kebangsaan berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini. Penerimaan unsur kebudayaan lain yang sesuai menunjukkan bahawa kebudayaan kebangsaan itu tidak meminggirkan kebudayaan lain, sebaliknya meraikan kepelbagaian budaya ada. Secara tidak langsung, kepelbagaian budaya ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik.

Konklusinya, Dasar Kebudayaan Negara merupakan salah satu penyumbang utama kepada perpaduan rakyat di Malaysia. Setiap unsur yang ada didalam dasar ini memberi satu layanan sama rata untuk rakyat yang berbilang bangsa di Malaysia. Apa yang perlu difikirkan sekarang, adalah cara mengekalkan kesetiaan rakyat terhadap dasar yang sedia ada ini bagi melahirkan sebuah masyarakat yang cemerlang sekali gus membentuk sebuah negara yang gemilang.




No comments :

Post a Comment